Kontroversi & kritikan Al Jazeera

Dunia Arab

Al Jazeera banyak menimbulkan kontroversi di kalangan negara teluk seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait dan Qatar melalui laporan warta berita dan rancangan terbitan siarannya. Akibatnya, ramai pemberita dan wartawan saluran berkenaan diusir keluar dan dihalang dari negara-negara terlibat. Sebagai contoh, kerajaan Bahrain menuduh Al Jazeera sering berpihak kepada Israel dan menentang negara kecil teluk tersebut. Selain itu, pandangan kontroversi hubungan sukar antara dua negara Lubnan dan Syria dan badan kehakiman di Mesir juga banyak menimbulkan kemarahan pelbagai pihak berkuasa.

Al Jazeera kadangkala mengambil pendekatan yang penuh drastik. Misalnya pada 27 Januari 1999, Al Jazeera secara terbuka mengkritik kerajaan Algeria ketika rancangan siaran langsung The Opposite Direction, menyebabkan kerajaan negara tersebut memotong bekalan tenaga elektrik ke sebahagian besar ibu negara Algeria iaitu Algiers bagi menghalang penduduk tersebut menerima siaran saluran tersebut.

Kini, Al Jazeera dilihat sebagai saluran berita yang bersikap optimis dan lebih menekankan kisah-kisah kemanusian dan hak keamanan masyarakat dunia khususnya di bahagian negara-negara timur tengah. Sebagai contoh, dalam tragedi serangan dan pengepungan kapal-kapal aktivis bantuan ke Gaza edisi Mei-Jun 2010, Al Jazeera dilihat sering mengutamakan hak-hak rakyat Palestin di bumi mereka dan sentiasa melontarkan persoalan tentang kerelevanan penahan hantaran bantuan ke Gaza oleh tentera Israel. Dalam suatu rancangan terbitannya, Inside Iraq, Al Jazeera juga mengetengahkan isu-isu berkaitan kemanusiaan dan hak kehidupan sebenar rakyat Iraq selain mengadakan debat antara pemimpin pro-Amerika dan para pengkritik dalam isu Iraq dan timur tengah.

Dunia barat

Di kalangan dunia barat, media dan kerajaan Amerika Syarikat ialah pengkritik terhebat Al Jazeera yang dituduh sebagai suara dan lidah pengganas. Kesan akibat tuduhan tersebut menyebabkan Jabatan Biro Berita Kabul Al Jazeera dibom pada bulan November 2001 dalam satu serangan udara oleh tentera Amerika Syarikat. Ia mengakibatkan Tariq Ayoub, wartawan saluran berkenaan meninggal dunia dalam serangan udara tersebut. Jurukamera Al Jazeera, Sami Al Hajj ditahan ketika bersinggah di Afghanistan pada bulan Disember 2001 dan kini masih berada dalam tahanan Amerika Syarikat di Kem Delta, Teluk Guantánamo.

Kritikan

Pengkritik Al Jazeera menuduh bahawa sensasi terbitan saluran tersebut disengajakan bagi meningkatkan jumlah penonton saluran berkenaan. Walau bagaimanapun, ramai juga[nyatakan menurut siapa?] yang bersetuju bahawa kehadiran Al Jazeera di kalangan dunia Arab banyak membantu ke arah kebebasan bersuara media Arab, sesuatu yang asing sebelum kemunculan saluran berkenaan.